» » NASIB SELETAR FreedomFilmFest MALAYSIA

NASIB SELETAR

On November - 6 - 2011

Masa Depan Orang Seletar: Siapa yang Endah?
Oleh Yow Chong Lee

Gologan minoriti sering dipinggirkan oleh pemimpin (kerajaan) dan masyarakat dengan sebab mereka tidak bernilai untuk diendahkan. Tidak kira daripada segi perancangan pembangunan mahupun peruntukan kepada mereka. Lebih teruk lagi, mereka selalu menjadi mangsa diskriminasi. Apatah lagi masa depan mereka?

Begitulah masalah yang dihadapi oleh sekumpulan komuniti minoriti yang bilangan mereka tidak melebihi 2,500 orang, yakni Orang Seletar (orang asal – orang laut) yang mendiami di sekitar Selat Johor.

Orang Seletar, berlainan dengan orang asal yang mendiami di hutan, banyak bergantung kepada laut untuk kesinambungan hidup mereka. Disebabkan oleh bilangan mereka yang kecil, mereka selalu diabaikan. Suatu contoh yang ketara adalah keadaan kemudaan asas – tiada kemudahan air, elektrik, pendidikan dan kemudahan kesihatan yang lengkap – disediakan kepada komuniti Orang Seletar.

Saya dengan beberapa teman yang lain sempat berkunjung ke kampung-kampung Orang Seletar yang lain dan melihat dengan mata kasar kami sendiri – jalan tar yang disediakan tamat baik sebelum kampung Orang Seletar; tiada kemudahan air dan elektrik yang lengkap.

Kesannya, mereka terpaksa minum air hujan atau air kolam yang kotor dan menggunakan penjana elektrik yang memerlukan diesel untuk membekalkan elektrik dari pukul 6 petang ke 12 tengah malam yang kosnya mencecah RM300 sebulan. Tambahan lagi, hampir semua rumah yang dimiliki oleh komuniti Orang Seletar adalah usang dan terdedah kepada ancaman angin kuat dan hujan lebat.

Selain itu, keadaan mereka bertambah teruk apabila ramai kanak-kanak Orang seletar tidak dapat menerima pendidikan asas disebabkan faktor jarak dan harga diri yang rendah (tidak mahu dipandang rendah oleh rakan-rakan sekelas yang lain). Ada juga kanak-kanak Orang Seletar yang memilih untuk tidak ke sekolah kerana mahu membantu ibu bapa mereka mencari rezeki.

Kami juga berpeluang untuk melawat sebuah kampung Orang Seletar di Johor Bahru untuk mengadakan tayangan filem hak asasi manusia kepada masyarakat di situ. Tayangan yang diadakan telah dihadiri lebih daripada 150 orang kampung daripada pelbagai lapisan umur – kanak-kanak, orang dewasa dan warga emas. Dua filem yang berunsur memperjuangkan hak-hak orang asal, yakni “Hak Dinafikan” dan “Lot, Umah Am” (“Laut, Rumah Saya”) telah ditayangan.

Perbincangan telah diadakan sebaik sahaja tayangan dokumentari diadakan. Sesungguhnya, perbincangan merupakan kaedah yang berkesan untuk kita memahami satu sama lain, dan lebih penting lagi, ia merupakan proses memperkasakan nilai-nilai demokrasi mahupun hak asasi manusia di kalangan peserta.

Beberapa peserta telah memberanikan diri mereka untuk bersuara. Dimaklumkan oleh wakil Orang Seletar di kampung tersebut, adalah sesuatu yang baru buat komuniti mereka menyuarakan pendapat.

“Kehidupan kami banyak terjejas disebabkan oleh projek pembangunan yang berdekatan dengan tempat tinggal kami”, kata seorang peserta yang merujuk kepada masalah pencemaran yang telah menjejaskan hasil tangkapan laut mereka.

Ekoran daripada projek pembangunan yang tidak mengambil kira kesinambungan alam sekitar, mahupun keprihatinan orang asal di sekitar kawasan pembangunan itu, Orang Seletar terpaksa menanggung kesan pembangunan tersebut.

“Saya kena (terpaksa) mencari duit tambah dengan mencuci pinggan mangkuk di restoran demi menampung kos hidup keluarga yang makin tinggi sekarang”, kata seorang peserta wanita merujuk kepada hasil tangkapan suaminya yang kian merosot sejak projek pembangunan diadakan di kawasan kediaman mereka.

Ke manakah peruntukan untuk Orang Seletar?

Sesungguhnya adalah tidak dinafikan bahawa kerajaan, melalui Jabatan Kemajuann Orang Asli (JKOA) telah berusaha untuk membantu kumpulan terpinggir seperti komuniti Orang Seletar ini. Namun, keberkesanan menyalurkan bantuan kepada mereka telah menjadi persoalan di sini. Ke manakah peruntukan yang telah disalurkan oleh kerajaan kepada orang asal melalui JKOA?

Namun begitu, yang lebih mustahak buat Orang Asal, adalah hak-hak mereka dijamin dan diperkasakan dari semasa ke samasa. Peruntukan yang disalurkan untuk menyediakan kemudahan asas juga patut digunakan untuk mendidik Orang Asal mengenai hak-hak asasi mereka agar mereka tidak mudah ditindas mahupun dipinggirkan pada masa akan datang.

Dilema Orang Seletar

Juga menarik perhatian kami adalah, ramai Orang Seletar turut terjerat dalam dilema di mana mereka perlu memilih sama ada perlu mengubah gaya hidup mereka (menjadi orang “moden” seperti warganegara Malaysia yang lain) ataupun terus menjalani gaya hidup mereka yang juga bermakna akan diabaikan oleh kerajaan yang tidak mengambil berat terhadap mereka.

“Apa yang kami mahu hanyalah kemudahan asas dan tidak lebih daripada itu”, tambah wakil komuniti Orang Seletar yang juga menyertai tayangan komuniti FreedomFilmFest2011 anjuran Pusat KOMAS.

Persoalan di sini – siapakah pendorong dilema berkenaan dan mengapakah Orang Seletar (Orang Asal) perlu menghadapi dilema tersebut sedangkan mereka, sebelum ini, bagaikan raja di atas laut yang mempunyai pengetahuan yang luas mengenai laut. Dengan pengetahuan yang sedia ada, mereka sepatutnya berupaya untuk menikmati pemberian Tuhan (hasil laut/hutan) yang lumayan.

Semua ini telah membuatkan kami merenungkan nasib dan masa depan Orang Seletar yang juga merupakan warganegara kita. Nasib dan masa depan Orang Seletar, siapa yang endah?

Artikel ini juga telah diterbitkan oleh Merdeka Review: Link

*Gambar-gambar yang dilampirkan adalah sumbangan ikhlas daripada Shafie Dris.

Comments are closed.