FreedomFilmFest 2016 ‘Tersurat; Tersirat’ – Panggilan Terbuka untuk Filem Dokumentari

Call For Entries_A2_malay_outputFreedomFilmFest (FFF), festival filem dokumentari antarabangsa hak asasi manusia, mencari filem sejajar dengan tema tahun ini ‘Tersurat; Tersirat’. Pesta ini akan berlangsung dari 20 hingga 28 Ogos 2016 di PJ Live Arts, Jaya One, Petaling Jaya.

Tema tahun ini ‘Tersurat; Tersirat’ mencerminkan misi festival ini untuk membawa perhatian awam terhadap isu-isu hak asasi manusia serta isu-isu sosial yang terpinggir melalui media filem. Tema ini turut menggalakkan orang ramai untuk melihat secara lebih mendalam lagi isu penting yang mengesani pelbagai lapisan masyarakat pada hari ini.

Filem-filem yang terpilih juga akan melalui pemilihan oleh juri khas bagi dinamakan untuk anugerah-anugerah tempatan, serantau dan antarabangsa.

Selain pendaftaran filem, pembikin filem amatur mahupun mereka yang membikin filem buat pertama kali dan pembikin filem veteran dari Malaysia dan Singapura digalakkan memohon untuk Program Geran Filem FFF. Program ini menawarkan geran sehingga MYR 20,000 and SGD 5,000 bagi dokumentari yang belum dihasilkan atau sedang dihasilkan.

Acara-acara FFF 2016 termasuk tayangan filem dokumentari di bandar-bandar utama di seluruh Malaysia serta di luar negara, upacara penyampaian anugerah, masterclass dan perbincangan bersama pembikin-pembikin filem terkenal. Peserta festival juga dapat menonton Moving Voices, siri cerita animasi yang diilhamkan oleh golongan yang kurang bernasib baik di sekitar Kuala Lumpur. Wayang Piknik pula menayangkan filem-filem tempatan dan antarabangsa terpilih secara percuma kepada individu atau kumpulan yang ingin menganjurkan tayangan kecil dalam komuniti mereka.

Sempena pelancaran FreedomFilmFest tahun ini, 3 filem yang dihasilkan oleh pemenang geran FFF 2015 boleh ditonton online buat pertama kali mulai 15 Mac. Filem-filem yang mengetengahkan isu-isu sosio politik Malaysia ini boleh ditonton percuma di laman web FFF.

FFF merupakan festival filem dokumentari antarabangsa tahunan yang menayangkan isi kandungan penuh impak dan pengaruh berkaitan hak asasi dan isu-isu awam serata dunia. Dalam 13 tahun belakangan ini, FFF telah menghasilkan lebih dari 40 dokumentari tempatan tentang hak asasi dan berjaya mencapai lebih dari 100,000 individu dari semua lapisan masyarakat setiap tahun. Tagline FFF “Berani Dokumentasi” mendukung misi menggalakkan para pembikin filem dan aktivis untuk mendokumentasi dan berkongsi cerita tanpa rasa takut atau ragu-ragu.

Untuk maklumat lanjut, layari freedomfilmfest.komas.org.